RAKYAT Mesir berpesta mengibarkan bendera negara mereka selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, malam semalam.
KAHERAH: Rakyat Mesir bangun dari tidur dengan harapan baru semalam selepas pemerintahan autokratik selama 30 tahun di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak berjaya dijatuhkan dalam tempoh 18 hari dengan pihak tentera mengambil alih kuasa bagi menentukan masa depan yang belum tentu hala tujunya.
Sebaik laungan azan Subuh berkumandang di Kaherah, bunyi hon disambut dengan sorakan orang ramai kedengaran semakin kuat selepas berjuta-juta rakyat Mesir berpesta malam sebelumnya bagi meraikan peletakan jawatan Hosni.
‘Rakyat menggulingkan regim.’ ‘Revolusi generasi muda memaksa Hosni berundur’, lapor tajuk muka depan akhbar al-Ahram.
Pada malam sebelumnya, beratus-ratus ribu rakyat Mesir menari, menangis dan berdoa dalam suasana riuh-rendah di Dataran Tahrir selepas Hosni meletakkan jawatan.
Penunjuk perasaan bersorak kegembiraan hingga ada yang memeluk anggota tentera sementara ahli keluarga mengambil gambar bersama di depan kereta perisai di jalan raya yang dipenuhi lautan manusia. Mereka yang tidak saling mengenal berpelukan sesama sendiri, sesetengahnya mengucup tanah dan ada juga yang berdiri tertegun seakan-akan tidak percaya apa yang berlaku.
No comments:
Post a Comment